Pages

Friday 20 April 2012

Sembang Mesra Belia di Kg. Bukit Pulau



Sembang Mesra Belia sekali lagi berjaya berjalan dengan lancar di Kg. Bukit Pulau, Melaka. Majlis santai yang dihadiri lebih 130 orang anak belia ini telah diadakan di perkarangan rumah Sdr. Razak Abu Hasan. Majlis pada malam itu telah dihadiri golongan belia dari Gerakan Belia 4B Caw. Paya Ikan, GB4B Bukit Baru Dalam, GB4B Bukit Baru Kg.ku Sayang, GB4B Taman Desa Baru dan GB4B Bukit Pulau sebagai tuan rumah.
Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Abd Latiff Mohammad, penggiat belia dan NGO yang aktif di Melaka yang juga mantan Setiausaha Agong Majlis Belia Melaka. Turut hadir Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin; Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah, Sdr. Razak Abu Hassan dan Pegawai Belia dan Sukan Negeri Melaka,En. Nik Mohd Azuan Ahmad Rostam.


Majlis atas nama Program Kerohanian dan Sembang-sembang Belia(Santai) ini dimulakan dengan solat Isya’ berjemaah dan bacaan Yassin dan tahlil yang diadakan di rumah Saudara Razak.
Tuan Abd Latiff dalam ucapannya mengajak anak belia untuk mengenang jasa-jasa pemimpin masyarakat dan belia yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga dalam melahirkan satu komuniti masyarakat yang cemerlang akal dan fikiran. Beliau juga menyeru pemimpin persatuan belia masakini agar bertindak bijak dalam mendekati golongan anak muda.
Menurut beliau, penglibatan anak belia secara proaktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan secara tidak langsung mampu menghindarkan mereka dari terlibat dengan gejala sosial dan dakyah anasir-anasir yang cuba merosakkan minda anak-anak muda ini.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin pula melahirkan kesyukuran atas keprihatinan pihak Kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang sentiasa menyokong pembangunan dan halatuju belia di Melaka. Ini amat bertepatan dengan usaha untuk mengangkat Melaka dengan slogan Melaka Negeri Belia.
Beliau juga turut berkongsi kisah duka rakan-rakan belia dari Selangor yang terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk menyewa pejabat operasi untuk Majlis Belia Selangor. Tambahnya lagi, baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor telah menaikkan lagi sewa premis hampir 300% dari harga sewa sebelumnya.  Beliau menerangkan akan peri pentingnya belia untuk  mempunyai pejabat sendiri supaya segala program belia dapat diatur dengan lebih tersusun.
Dalam majlis yang sama juga, pihak SPR telah menyediakan perkhidmatan semakan daftar pemilih manakala Jabatan Tenaga Kerja Melaka telah membuat hebahan berkenaan program Temuduga Terbuka sempena Program Employability dan Azam Kerja 1Malaysia yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.
Majlis santai ini ditutup pada pukul 12.00 malam dengan penyampaian sumbangan bola futsal kepada persatuan-persatuan belia  menjadi agenda terakhir.
Read More...

Wednesday 18 April 2012

Sembang Belia di Bachang Darat

Program Sembang Mesra Belia Daerah Melaka Tengah memulakan sesi penjelajahannya dengan siri pertama bermula di Dun Bachang pada malam tadi.
Program yang diadakan di perkarangan rumah Saudara Mohd Fauzi Fadellah, Ketua 4B Bachang Darat ini melibatkan 7 persatuan belia iaitu GB4B Bachang Darat selaku tuan rumah, GB4B Pasir Putih, GB4B Sarang Helang, GB4B Seri Mangga, GB4B Tmn. Rumpun Bahagia, MAYC Kubu Harapan dan MAYC Warisan Kg. Lapan.
Program dimulakan dengan sesi kerohanian dengan majlis bacaan Yassin yang diketuai oleh Imam Surau Bachang Darat dan diteruskan dengan sesi santai dan percambahan minda bersama  rakan-rakan belia.
Majlis dihadiri oleh Sdr. Nasrul Ahmad, Exco Majlis Belia Malaysia; Sdr. Razak Abu Hassan,Pengerusi Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah;  Sdr. Linesh Khandhar, Exco MGBM dan Tn. Syed Zulhelmi Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah. Turut hadir pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli persatuan belia dari Dun Bachang.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli belia ialah berkenaan peruntukan kewangan kepada persatuan-persatuan belia. Saudara Nasrul Ahmad yang juga Exco MBM menerangkan bahawa peruntukan berkala kepada semua persatuan belia seperti tahun-tahun yang sudah telah dimansuhkan. Namun, beliau berjanji perkara itu akan dibangkitkan sebagai usul dalam Majlis Perundingan Belia Peringkat Negeri Melaka dan Kebangsaan oleh beliau.
Dalam masa sama, beliau juga menerangkan dan memberikan ulasan serta pandangan beliau terhadap isu-isu semasa dalam negara kini. Menurut beliau, isu pemansuhan PTPTN yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu adalah pandangan dari mereka yan berfikiran sempit dan mempunyai kepentingan sendiri.  Tambahnya lagi, pemansuhan PTPTN dan pemberian biasiswa percuma kepada semua mahasiswa adalah usul mengarut yang mampu menumbangkan ekonomi negara dalam masa yang singkat. Sewajarnya, permintaan yang lebih rasional iaitu pemansuhan kadar faedah pinjaman yang diutarakan berbanding pemansuhan terus PTPTN.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, Tn. Syed Zulhelmi Abdullah pula memaklumkan pihak Jabatan Belia Sukan sedang dalam proses untuk membina sebuah lagi Gelanggang Futsal di dalam daerah Melaka Tengah iaitu di perkarangan Dewan Tun Ali. Beliau juga melahirkan rasa berterima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah yang tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama yang baik dalam program-program anjuran Jabatan Belia dan Sukan.
Sebelum menutup majlis, Saudara Razak Abu Hassan, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah telah menyampaikan cenderahati bola futsal kepada persatuan-persatuan belia yang terlibat dengan program Sembang Belia Dun Bachang Siri 1 ini.
Read More...

Monday 16 April 2012

Jom Jogging ! Melaka Cergas !

Pada setiap hari Ahad, jika tiada aktiviti yang melibatkan beliau di luar Melaka, Ketua Menteri Melaka ini pasti akan muncul di hadapan Memorial Pengistiharan Kemerdekaan di Bandar Hilir.
Photobucket
Program Jogging Melaka Sihat Bersama Ketua Menteri Melaka ini adalah program usahasama Kerajaan Negeri Melaka, Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka serta Persatuan Jogging Melaka. Program yang diadakan pada setiap pagi Ahad seawal jam 6.30 pagi ini akan bermula di hadapan Memorial Pengisytiharan Kemerdekaan dekat Banda Hilir.
Program ini telah berlangsung untuk sekian lamanya dan telah menarik minat rakyat Melaka untuk mendekati dan beriadah dengan YAB Ketua Menteri dengan lebih dekat.
Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang ditemui sejurus selesai berjogging berkata, melalui konsep MALAYSIA CERGAS ,beliau menyeru setiap rakyat Melaka – tua dan muda, lelaki dan perempuan supaya merancang masa lapangnya untuk cergas dengan menyertai sebarang kegiatan fizikal.
Tambah beliau, ini perlu dilakukan secara sukarela supaya kepuasan yang diperolehi akan lebih bermakna. Beliau juga mengajak semua yang berada di sekitar Melaka untuk sama-sama berjogging pada setiap hari Ahad bersama beliau.
Menurut sumber dari Jabatan Belia dan Sukan Melaka, pada pagi 22 April ini pula akan diadakan program Jogging Perdana 10km Bersama YAB Ketua Menteri Sempena Melaka 750 Tahun.
Program anjuran Kerajaan Negeri Melaka dengan kerjasama Majlis Sukan Negeri Melaka dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka ini akan melibatkan penyertaan berskala besar dari pelbagai agensi kerajaan, swasta, IPT dan sekolah serta persatuan-persatuan kampung dari serata Melaka.
Photobucket
Penulis mewakili pihak penganjur menjemput pembaca semua di sekitar Negeri Melaka dan mereka yang berkesempatan untuk sama-sama kita berjogging pada setiap hari Ahad di Banda Hilir.. Jom Jogging !! Melaka Cergas!!
Read More...

Saturday 14 April 2012

Hulubalang Melaka Ikrar Pertahan Institusi Raja

Photobucket
Bacaan Ikrar Pendekar yang dilafazkan dengan penuh semangat pada Malam Pendekar Melaka baru-baru ini benar-benar membakar semangat anak-anak muda untuk lebih mempunyai jatidiri yang tinggi.
Perhimpunan yang melibatkan lebih 2600 pesilat dari 60 perguruan itu telah diadakan di padang Dataran Pahlawan dekat Banda Hilir. Himpunan yang menyatukan ribuan anak-anak silat dari pelbagai perguruan itu merupakan manifestasi kepada semangat kepahlawanan anak bangsa yang sedia bangkit mempertahankan maruah agama,bangsa dan negara dari anasir yang cuba mengganggu gugat keamanan negara.
Photobucket
Malam penuh bersejarah ini telah dirasmikan oleh YAB Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) yang juga Ketua Menteri Melaka. Turut bersama, Mahaguru Persilatan Seni Silat Lincah Malaysia, Tan Sri Omar Din Mauju dan Pengerusi PESAKA Negeri Melaka, YB Datuk Yaakub Md. Amin.
Kata Mohd Ali dalam ucapan perasmian, perhimpunan ini merupakan salah satu usaha menaikkan semangat pendekar agar terus mempertahankan jatidiri warga Malaysia lebih lagi budaya melayu yang berdisiplin dan penuh dengan adab kesopanan dan kesusilaan.
“Justeru itu, PESAKA dan pesilat sentiasa bersedia mempertahankan kedaulatan dan menjunjung nilai-nilai murni dalam ilmu persilatan dari diancam oleh petualang bangsa dan pihak yang tidak bertanggungjawab,” tambah beliau.
Photobucket
Hadirin yang hadir dianggarkan hampir 3000 orang dan mereka telah disajikan dengan demonstrasi kepantasan pendekar-pendekar Melayu bermain senjata dan mengatur langkah di gelanggang. Pertunjukan silat dari pelbagai perguruan juga telah bermula seawal petang hari hingga ke majlis penutup pada jam 11.00 malam.
Pada penghujung Malam Pendekar Melaka itu, YAB Datuk Seri Mohd Ali telah dianugerahkan Selempang Anugerah Laksamana Melaka, anugerah tertinggi silat Negeri Melaka yang telah disampaikan oleh Y.Bhg. Mahaguru Tan Sri Omar Din Mauju; Pendekar Malaysia. Disusuli dengan pemakaian selempang Pendekar Melaka kepada guru-guru persilatan.
Photobucket
Read More...

Saturday 7 April 2012

Sembang Mesra Belia Dun Serkam Melaka


Semangat dan sokongan generasi muda Melaka yang tidak berbelah bagi  terhadap aktiviti belia sekali lagi diterjemahkan pada Program Sembang Mesra Belia Dun Serkam yang diadakan baru-baru ini.
Program anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dan Majlis Gerakan Belia Daerah Jasin kali ini telah diadakan di Balairaya Kg. Serkam Darat, Melaka.
 Program sembang mesra belia ini telah dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.  Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Pn. Liew Poh Fong; Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin, En. Nizam Omar; Penghulu Dun Serkam dan Pengerusi JKKK Kg. Serkam  Darat.
Pada majlis yang sama juga telah diadakan majlis perasmian  penubuhan  Gerakan Belia 4B Cawangan Serkam Darat dan Program Jalinan Mahabbah GB4B Malaysia Kawasan Jasin.  

Golongan anak muda sekitar Kg. Serkam Darat telah beramai-ramai turun untuk memeriahkan lagi majlis ini. Mereka pada dasarnya  amat berterima kasih atas penganjuran program ini kerana bagi mereka, inilah peluang terbaik mereka untuk beramah mesra dengan pemimpin setempat dan negeri. 

Dalam majlis sama juga, pelbagai permasalahan telah dapat diselesaikan dan yang paling menarik, YAB Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan RM14K untuk surau Kg. Serkam Darat.
Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin merangkap Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jab. Ketua Menteri Melaka, En. Nizam Omar dalam ucapannya berjanji akan sama-sama turun padang bersama Jabatan Belia dan Sukan Melaka untuk memeriahkan lagi program-program belia di Melaka selaras dengan hasrat YAB Ketua Menteri untuk menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia.

Read More...

Wednesday 4 April 2012

Mahasiswa Wajib Berfikir Secara Rasional, Bukan Emosional.

Mahasiswa pintar biasanya tepat dan bijak dalam berbicara, mempunyai ketepatan berfikir dan ketepatan bertindak. Mahasiswa diingatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan dakyah pembangkang yang sengaja memburuk-burukkan segala dasar dan pelaksanaan kerajaan sejak negara mencapai kemerdekaan. Tindak tanduk mahasiswa yang keterlaluan juga secara jelas mampu menjejaskan nama baik universiti dan ketenteraman awam negara ini.


Ketua Menteri Melaka, YAB Datuk Mohd Ali Rustam Melaka merangkap Penaung Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Mahasiswa Sayang  1Malaysia Negeri Melaka.  Program anjuran Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia ini telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Besar  Universiti Teknikal Malaysia Melaka. 

Turut hadir Speaker Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Hj. Othman bin Muhamad ; Timbalan Naib Canselor UTEM, Prof. Dr. Marizan Sulaiman ; Rektor UiTM Melaka, Datuk Prof. Madya Dr. Mizan Hj. Hitam dan Presiden Pertubuhan Belia Pemikir Muda Malaysia ; Saudara Mohd Rafiq Naizamohideen.

Tambahnya lagi, sebagai kerajaan yang prihatin dan mengutamakan kebajikan rakyat, kerajaan sedia mendengar ketidakpuasan, rungutan, cadangan dan idea mahasiswa serta melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.

Ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan lebih ramai golongan berpendidikan tinggi yang menjadi harapan serta tonggak negara khususnya mahasiswa yang bijak berfikir dan membuat pertimbangan yang sewajarnya sebelum melakukan sesuatu perkara tercapai.

Beliau juga menyelar tindakan sesetengah pihak yang sanggup menabur janji palsu kepada golongan mahasiswa demi kepentingan politik. Namun beliau yakin dan percaya akan kebijaksanaan mahasiswa untuk menilai sesuatu isu itu dengan berpaksikan fakta dan tidak berlandaskan emosi semata-mata.


Kehadiran lebih 3,000 mahasiswa dari beberapa IPTA/IPTS seperti  UiTM, KUIM, UTEM, MMU Cyberjaya & Melaka, Politeknik Melaka, Kolej Komuniti dan Kolej Professional MARA ini jelas menandakan golongan mahasiswa juga menyokong Gagasan 1 Malaysia yang di pelopori oleh YAB Datuk Seri Mohd Najib Bin Tun Hj Abdul Razak,Perdana Menteri Malaysia.

Program  yang dikendalikan oleh personaliti TV3, Ally Iskandar ini  telah menutup tirai pada jam 7.00 petang.
Read More...