Pages

Saturday 18 May 2013

TIGA PILIHANRAYA KECIL BAKAL DIADAKAN DALAM MASA TERDEKAT??



1. NIK NAZMI DI MAHKAMAH 4 JUN 2013

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menganjurkan perhimpunaan tanpa kebenaran, 8 Mei lalu. 

Nik Nazmi, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dibacakan terhadapnya di depan Hakim Rozina Ayob, sebentar tadi.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Azmi memberitahu mahkamah, pihaknya akan memfailkan secepat mungkin permohonan bagi membatalkan pendakwaan ke atas anak guamnya berdasarkan alasan salah guna kuasa kerana pendakwaan itu, lebih bersifat politik.

Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan kes. 



2. RAFIZI RAMLI DI MAHKAMAH 10 JUN 2013


Kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, (PKR) Mohd. Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Jun ini.

Hakim G. Rames menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu rayuan yang dikemukakan oleh Mohd. Rafizi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Rayuan tersebut akan didengar pada 23 Mei ini.

Mohd. Rafizi, 36, dan Johari Mohamad, 42, yang hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam bela, Michelle Yesudas sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Razali.

Pada 23 November 2012, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menolak permohonan Mohd. Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu bersifat pramatang.

Mohd. Rafizi memfailkan permohonan itu pada 10 September tahun lalu atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Pada 1 Ogos 2012, Mohd. Rafizi mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada konsultan media, Yusof Abdul Alin dan wartawan akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa mempunyai akses kepada salinan rumusan akaun Public Bank milik National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), National Meal & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun peribadi Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Mohd. Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari yang merupakan bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Rafizi melakukan perbuatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) akta tersebut dibaca bersama Seksyen 97(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.


3. TIAN CHUA DI MAHKAMAH DIJANGKA JUN 2013

UMNO berhak di sisi undang-undang atau mempunyai locus standi untuk menyaman Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan dua lagi berhubung artikel diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com. yang didakwa mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh pada 15 Mac lalu memfailkan saman terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chiang; Editor portal berkenaan, Fazallah Pit; dan penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Menurut Ab. Rauf, hak untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu memperuntukkan, sesuatu pertubuhan boleh mendakwa atau didakwa atas nama mana-mana seorang anggotanya seperti yang dinyatakan kepada Pendaftar Pertubuhan dan didaftar olehnya sebagai pegawai awam pertubuhan bagi maksud itu.

Perkara tersebut terkandung dalam afidavit Ab. Rauf bertarikh 7 Mei lalu yang dikemukakan bersama permohonannya untuk membatalkan pembelaan yang difailkan oleh ketiga-tiga mereka pada 23 April lalu.

Ab. Rauf berbuat demikian atas alasan pembelaan mereka tidak mendedahkan klausa pembelaan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan.

Tian Chua dalam pernyataan pembelaan antaranya menyatakan, kenyataannya adalah komen yang wajar dan dibuat di bawah perlindungan bersyarat demi kepentingan awam berkenaan isu keselamatan negara dan ketelusan media.

Peguam Raihanah Ariffin yang mewakili Ab. Rauf selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 12 Jun ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Rosilah Yop ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini dengan kehadiran peguam S.H. Tan mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 15 Mac lalu, Ab. Rauf dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO yang telah dilapor dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lalu selepas ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Ab. Rauf mendakwa, perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud, UMNO merancang insiden pencerobohan tersebut, UMNO pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan UMNO sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden tersebut.

*Desas mengesahkan di kalangan peguam senior berkecuali berkata kemungkinan Pilihanraya Kecil akan diadakan di kawasan tersebut. Diharap jentera BN di kawasan terbabit tidak menunggu keputusan Mahkamah baru hendak menggerakkan jentera PRK, sebaliknya dinasihatkan supaya persediaan dibuat awal dari sekarang untuk mengenal pasti keperluan pengundi dan rakyat di kawasan terbabit.

No comments:

Post a Comment