Pages

Saturday, 18 May 2013

TIGA PILIHANRAYA KECIL BAKAL DIADAKAN DALAM MASA TERDEKAT??



1. NIK NAZMI DI MAHKAMAH 4 JUN 2013

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Nazmi Nik Ahmad, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dakwaan menganjurkan perhimpunaan tanpa kebenaran, 8 Mei lalu. 

Nik Nazmi, 31, mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012 dibacakan terhadapnya di depan Hakim Rozina Ayob, sebentar tadi.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Nik Azmi memberitahu mahkamah, pihaknya akan memfailkan secepat mungkin permohonan bagi membatalkan pendakwaan ke atas anak guamnya berdasarkan alasan salah guna kuasa kerana pendakwaan itu, lebih bersifat politik.

Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan kes. 



2. RAFIZI RAMLI DI MAHKAMAH 10 JUN 2013


Kes Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat, (PKR) Mohd. Rafizi Ramli dan seorang bekas kerani bank yang menghadapi pertuduhan di bawah Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan (Bafia) akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Jun ini.

Hakim G. Rames menetapkan tarikh tersebut sementara menunggu rayuan yang dikemukakan oleh Mohd. Rafizi terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang menolak permohonan untuk membatalkan pertuduhan yang dihadapinya, diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. Rayuan tersebut akan didengar pada 23 Mei ini.

Mohd. Rafizi, 36, dan Johari Mohamad, 42, yang hadir di mahkamah hari ini diwakili peguam bela, Michelle Yesudas sementara pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Haziq Razali.

Pada 23 November 2012, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ghazali Cha menolak permohonan Mohd. Rafizi untuk mengetepikan pertuduhan itu selepas mendapati permohonan itu bersifat pramatang.

Mohd. Rafizi memfailkan permohonan itu pada 10 September tahun lalu atas alasan prosiding jenayah di Mahkamah Sesyen berkenaan bermotifkan politik.

Pada 1 Ogos 2012, Mohd. Rafizi mengaku tidak bersalah atas tuduhan mendedahkan maklumat akaun bank tiga syarikat yang terlibat dalam projek Pusat Fidlot Nasional (NFC) kepada konsultan media, Yusof Abdul Alin dan wartawan akhbar The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa mempunyai akses kepada salinan rumusan akaun Public Bank milik National Feedlot Corporation Sdn. Bhd. (NFCorp), National Meal & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd. dan akaun peribadi Pengerusi Eksekutif NFCorp, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail.

Mohd. Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Akta Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya.

Johari yang merupakan bekas kerani (bahagian kredit) Public Bank Bhd. cawangan Jinjang pula didakwa bersubahat dengan Mohd. Rafizi melakukan perbuatan itu pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) akta tersebut dibaca bersama Seksyen 97(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman serupa.


3. TIAN CHUA DI MAHKAMAH DIJANGKA JUN 2013

UMNO berhak di sisi undang-undang atau mempunyai locus standi untuk menyaman Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua dan dua lagi berhubung artikel diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com. yang didakwa mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh pada 15 Mac lalu memfailkan saman terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chiang; Editor portal berkenaan, Fazallah Pit; dan penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Menurut Ab. Rauf, hak untuk membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi di sini adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 9(c) Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen itu memperuntukkan, sesuatu pertubuhan boleh mendakwa atau didakwa atas nama mana-mana seorang anggotanya seperti yang dinyatakan kepada Pendaftar Pertubuhan dan didaftar olehnya sebagai pegawai awam pertubuhan bagi maksud itu.

Perkara tersebut terkandung dalam afidavit Ab. Rauf bertarikh 7 Mei lalu yang dikemukakan bersama permohonannya untuk membatalkan pembelaan yang difailkan oleh ketiga-tiga mereka pada 23 April lalu.

Ab. Rauf berbuat demikian atas alasan pembelaan mereka tidak mendedahkan klausa pembelaan yang munasabah, mengaibkan, remeh dan menyusahkan.

Tian Chua dalam pernyataan pembelaan antaranya menyatakan, kenyataannya adalah komen yang wajar dan dibuat di bawah perlindungan bersyarat demi kepentingan awam berkenaan isu keselamatan negara dan ketelusan media.

Peguam Raihanah Ariffin yang mewakili Ab. Rauf selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 12 Jun ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Rosilah Yop ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini dengan kehadiran peguam S.H. Tan mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Pada 15 Mac lalu, Ab. Rauf dalam pernyataan tuntutannya menyatakan, Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah dalam artikel insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO yang telah dilapor dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lalu selepas ditemu ramah oleh wartawan portal itu.

Ab. Rauf mendakwa, perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud, UMNO merancang insiden pencerobohan tersebut, UMNO pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu dan UMNO sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden tersebut.

*Desas mengesahkan di kalangan peguam senior berkecuali berkata kemungkinan Pilihanraya Kecil akan diadakan di kawasan tersebut. Diharap jentera BN di kawasan terbabit tidak menunggu keputusan Mahkamah baru hendak menggerakkan jentera PRK, sebaliknya dinasihatkan supaya persediaan dibuat awal dari sekarang untuk mengenal pasti keperluan pengundi dan rakyat di kawasan terbabit.

Read More...

DAP, PKR DAN PAS DIJANGKA BAWA HALUAN SENDIRI MENJELANG PRU14


Sebagaimana diketahui ramai, Pakatan Rakyat (PR) sebetulnya tidak wujud secara rasmi kerana sehingga kini pakatan itu gagal didaftarkan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

PR yang menggabungkan kerjasama rapuh tiga parti pembangkang iaitu DAP, PKR dan PAS itu hanya wujud secara halusinasi dengan bersandarkan titik temu berkongsi musuh yang sama iaitu BN.

Tiada perlembagaan yang mengikat kerjasama sesama anggotanya dan tidak wujud satu pun logo yang disepakati sebagai lambang rasmi untuk diguna pakai semasa pilihan raya.

Gabungan sebegini tentulah asasnya rapuh dan ada pasang surutnya kerana masing-masing tidak terikat dengan hala tuju yang jelas di masa depan.

Sebab itu untuk sesiapa mendakwa PR memperolehi undi popular ia tidak menepati realiti semasa kerana PR itu tidak wujud secara hakiki melainkan sekadar pakatan yang bekerjasama dengan matlamat yang berbeza-beza.

Keputusan PRU-13 jelas menunjukkan hanya DAP yang benar-benar meraih laba dari pakatan ini sementara PKR dan PAS masing-masing merosot pencapaiannya dari segi jumlah kerusi Parlimen yang dimenangi.




Untuk sementara waktu pakatan ini akan kekal dengan jalinan kerjasama rapuh mereka, tapi sampai suatu masa samada PKR atau PAS akan merasakan diri mereka hanya dipergunakan untuk kepentingan DAP semata-mata.




Senarionya berbeza jika pakatan ini wujud saling bekerjasama antara satu sama lain secara rasmi diikat dengan perlembagaan, dasar dan logo yang disepakati, nescaya soal pasang surut prestasi masing-masing dihadapi bersama.




Justeru itu, tidak mengejutkan andai menjelang PRU-14 ketiga-tiga parti pembangkang ini akhirnya membawa haluan masing-masing, mengulangi sejarah kerjasama beberapa gabungan tidak rasmi sebelum ini seperti APU, Gagasan rakyat dan Barisan Alternatif.
Read More...

Friday, 17 May 2013

YB KHAIRY JAMALUDDIN MENTERI UNTUK SEMUA



Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin mengajak semua pihak untuk melihat kehadapan dan berhenti mempertikaikan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) bagi mengalas mandat yang telah diberi rakyat.

Beliau yang melapor diri hari pertama sebagai Menteri Belia dan Sukan (KBS) hari ini turut berkata, semua pemimpin yang dipilihan jangan ada rasa untuk membalas dendam dan mengalas tanggungjawab tanpa prejudis.

"Saya juga harap pembangkang akan terima keputusan PRU13, kerana rakyat dan negara perlu bergerak kehadapan, kalau ada perkara yang tidak dipersetujui bawa ke mahkamah.

"Jangan heret rakyat ke dalam fasa memecah belahkan rakyat untuk tujuan politik, sudah tiba masanya untuk lihat ke hadapan dan lakukan transformasi," katanya pada sidang media selepas beramah mesra bersama kakitangan KBS.

Beliau berkata, pemilihannya sebagai menteri bukan hanya untuk berkhidmat kepada satu pihak sahaja tetapi untuk semua rakyat tanpa mengira ideologi.

"Saya jemput semua badan belia yang berdaftar secara langsung dibawah KBS, atau tidak untuk bersama-sama saya berkongsi idea dan pandangan.

"Saya juga tidak ada masalah untuk berdialog dengan mana-mana belia yang menyertai politik, saya akan tulis surat kepada mereka bahawa saya sedia dengar suara mereka.

"Saya bukan Menteri Belia Barisan Nasional, saya Menteri Belia dan Sukan Malaysia, menteri untuk semua," katanya yang turut menegaskan bahawa beliau menteri untuk semua sukan dan tidak hanya tertumpu pada satu sukan sahaja.

Khairy yang juga Ketua Pemuda Umno menyifatkan perancangan yang dibuat kerajaan dan menteri KBS sebelum ini masih relevan untuk diteruskan.

"Untuk jangka masa panjang kebanyakan dasar yang ada sudah baik, namum perlu diperbaiki dan diberi nilai tambah berdasarkan keadaan semasa dan impak keputusan PRU13.

"Beri saya masa dan Timbalan Menteri (Datuk M.Saravanan) untuk selesaikan lawatan dan sesi dialog bersama agensi KBS dan persatuan-persatuan belia dan sukan bagi mendengar pandangan dan cadangan mereka sebelum melakukan sebarang perubahan," katanya.

Menurutnya, proses kerukunan nasional yang perdana menteri tekankan adalah penting dalam menarik golongan muda mendekati kerjaan.

"Ini cabaran untuk saya, terutamanya mereka yang tidak sokong parti saya. Saya akan turun mendekati kumpulan ini untuk mengenalpasti citarasa belia masa kini.

"Saya akan ketepi protokol sedia ada untuk turut sama bekerja dengan kumpulan yang tidak menyokong kami (BN), kami sedia membuka pintu kepada mereka," katanya yang tetap memberi keutamaan kepada persatuan belia tradisional.
Read More...

UMAT ISLAM DIBERITAHU HARAM UNTUK MEMBANTAH TANPA IKUT SALURAN SAH


Umat Islam di Malaysia diberitahu haram bagi mereka untuk menderhaka dan memerangi pemerintah seperti membantah tanpa mengikut saluran yang sah kata khutbah Jumaat hari ini.

Dalam khutbah yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu, umat Islam juga diingatkan perintah mentaati pemerintah termasuk mentaati para petugas yang menjaga keamanan dan keselamatan seperti pasukan polis.

“Menderhaka kepada pemerintah dan memerangi mereka, maka hukumnya haram,” tulis khutbah bertajuk “Guru Malaysia: Satu Aspirasi Satu Agenda” yang boleh didapati di laman sesawang JAKIM hari ini.

“Termasuk dalam perbuatan derhaka ialah membantah tanpa mengikut saluran yang sah keputusan pemerintah yang dibuat berasaskan kuasa yang diberikan kepada mereka dalam menjalankan urusan pentadbiran negara.”

Pakatan Rakyat (PR) telah menganjurkan beberapa siri perhimpunan selepas pilihan raya digelar “Black 505” diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantah kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya 2013 yang mereka dakwa kerana penipuan dan kecurangan pilihan raya dilakukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hari ini Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa kerana dituduh gagal untuk memberikan notis 10 hari behubung perhimpunan pertama “Black 505” di stadium Kelana Jaya, Rabu lepas.

“Berasaskan kepada dalil-dalil yang jelas daripada al-Quran dan hadith Rasulullah SAW, para ulama telah bersepakat mengatakan taat kepada pemerintah adalah fardu kepada setiap Muslim manakala menderhaka merupakan satu dosa besar.

“Bantahan yang berterusan kepada pemerintah negara yang telah terbukti mampu memelihara agama Islam dan keamanan dibimbangi hanya akan mengundang bala dan murka dari Allah SWT,” tambah JAKIM lagi.

PR telah mengatakan akan meneruskan perhimpunan “Black 505” dengan salah satu daripadanya akan diadakan di Negeri Sembilan dan tiga perhimpunan di beberapa negeri — Kedah, Terengganu dan Melaka.

Negeri-negeri lain yang telah diadakan perhimpunan adalah Pulau Pinang, Johor, Perak dan Pahang.

Walau bagaimanapun, PR baru-baru ini menjauhkan diri dari desakan untuk demonstrasi jalanan bagi membantah keputusan Pilihan Raya 2013 tetapi mengatakan akan meneruskan perhimpunan di tempat tertutup bagi memberikan peluang kepada pengundi untuk “menyuarakan kemarahan” mereka terhadap tuduhan kecurangan pilihan raya 5 Mei lalu.

Anwar mengatakan desakan untuk PR menganjurkan demonstrasi jalanan bagi menjatuhkan kerajaan BN datang dari NGO dan bukan pendirian rasmi gabungan tersebut.

“Ini hanyalah cadangan dan tidak pernah dibangkitkan kepada kepimpinan dan bukan sesuatu yang akan dipertimbangkan oleh kepimpinan,” katanya.

Koordinator Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim sebelum ini mengatakan pengundi seharusnya menjatuhkan BN melalui demonstrasi jalanan.

PR berulang kali mengatakan Pilihan Raya 2013 telah dicemari dengan penipuan besar-besaran.

Read More...