“Aku dah cantas dah Bijan, baru orang suka tengok “
Aktiviti mencantas pokok memerlukan penelitian dan kepakaran yang
tersendiri. Tersalah cantas boleh menyebabkan mata yang memandang terasa
jelik. Proses untuk mendapatkan kembali bentuk rimbun yang baru pasti
mengambil masa.
Begitu juga dalam suasana politik semasa, aktiviti mencantas itu diertikan dengan istilah politik cantas. Dalam
erti kata lain ialah politik yang saling jatuh menjatuhkan antara satu
sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau seperjuangan.
Penulis lebih gemar mentafsirkan politik cantas itu sebagai proses
untuk memilih pemimpin yang lebih berdedikasi dan komited kepada
tanggungjawab. Tidak salah untuk kita berbalah pendapat dalam
menjalankan tanggungjawab tetapi janganlah sampai menggunakan pendekatan
yang kurang bijak demi menjatuhkan rakan seperjuangan.
Dengan Pilihanraya Umum ke-13 yang dijangka semakin hampir, budaya
politik cantas yang kurang sihat dikhuatiri mampu mendorong pengundi
untuk beralih arah. Perbincangan dan muzakarah secara berhemah adalah
kaedah yang lebih praktikal. Tidak kira samada pemimpin atau bakal
pemimpin itu muda sekalipun, jika ia mampu menanggung beban dan
menjalankan tanggugjawab dengan baik, mengapa tidak?
Tidak semestinya yang muda itu tidak mampu menggalas tanggungjawab
sebagai wakil kepada rakyat. Mengambil YAB Dato Sri Najib Tun Razak
sebagai contoh, beliau mula menyandang kerusi Parlimen Pekan ketika
berumur 23 tahun dan menjadi Menteri Besar Pahang ketika berumur 29
tahun.
Calon-calon muda yang berwibawa harus diangkat untuk diketengahkan
supaya pemimpin pelapis yang kuat dapat dibentuk. Menjadi tugas
pemimpin semasa di peringkat pusat dan bahagian untuk membimbing dan
menggalakkan golongan muda ini untuk terus menonjolkan diri dan bakat
kepimpinan yang berkobar-kobar dalam diri.
Jika ini semua dapat dilaksanakan, penulis yakin slogan transformasi
itu pasti mencapai matlamat hingga ke peringkat akar umbi dan bukan
hanya dilaungkan sebagai gimik pilihanraya sahaja.
No comments:
Post a Comment