Pages

Showing posts with label Belia. Show all posts
Showing posts with label Belia. Show all posts

Friday, 20 April 2012

Sembang Mesra Belia di Kg. Bukit Pulau



Sembang Mesra Belia sekali lagi berjaya berjalan dengan lancar di Kg. Bukit Pulau, Melaka. Majlis santai yang dihadiri lebih 130 orang anak belia ini telah diadakan di perkarangan rumah Sdr. Razak Abu Hasan. Majlis pada malam itu telah dihadiri golongan belia dari Gerakan Belia 4B Caw. Paya Ikan, GB4B Bukit Baru Dalam, GB4B Bukit Baru Kg.ku Sayang, GB4B Taman Desa Baru dan GB4B Bukit Pulau sebagai tuan rumah.
Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Abd Latiff Mohammad, penggiat belia dan NGO yang aktif di Melaka yang juga mantan Setiausaha Agong Majlis Belia Melaka. Turut hadir Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin; Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah, Sdr. Razak Abu Hassan dan Pegawai Belia dan Sukan Negeri Melaka,En. Nik Mohd Azuan Ahmad Rostam.


Majlis atas nama Program Kerohanian dan Sembang-sembang Belia(Santai) ini dimulakan dengan solat Isya’ berjemaah dan bacaan Yassin dan tahlil yang diadakan di rumah Saudara Razak.
Tuan Abd Latiff dalam ucapannya mengajak anak belia untuk mengenang jasa-jasa pemimpin masyarakat dan belia yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga dalam melahirkan satu komuniti masyarakat yang cemerlang akal dan fikiran. Beliau juga menyeru pemimpin persatuan belia masakini agar bertindak bijak dalam mendekati golongan anak muda.
Menurut beliau, penglibatan anak belia secara proaktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan secara tidak langsung mampu menghindarkan mereka dari terlibat dengan gejala sosial dan dakyah anasir-anasir yang cuba merosakkan minda anak-anak muda ini.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin pula melahirkan kesyukuran atas keprihatinan pihak Kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang sentiasa menyokong pembangunan dan halatuju belia di Melaka. Ini amat bertepatan dengan usaha untuk mengangkat Melaka dengan slogan Melaka Negeri Belia.
Beliau juga turut berkongsi kisah duka rakan-rakan belia dari Selangor yang terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk menyewa pejabat operasi untuk Majlis Belia Selangor. Tambahnya lagi, baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor telah menaikkan lagi sewa premis hampir 300% dari harga sewa sebelumnya.  Beliau menerangkan akan peri pentingnya belia untuk  mempunyai pejabat sendiri supaya segala program belia dapat diatur dengan lebih tersusun.
Dalam majlis yang sama juga, pihak SPR telah menyediakan perkhidmatan semakan daftar pemilih manakala Jabatan Tenaga Kerja Melaka telah membuat hebahan berkenaan program Temuduga Terbuka sempena Program Employability dan Azam Kerja 1Malaysia yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.
Majlis santai ini ditutup pada pukul 12.00 malam dengan penyampaian sumbangan bola futsal kepada persatuan-persatuan belia  menjadi agenda terakhir.
Read More...

Wednesday, 18 April 2012

Sembang Belia di Bachang Darat

Program Sembang Mesra Belia Daerah Melaka Tengah memulakan sesi penjelajahannya dengan siri pertama bermula di Dun Bachang pada malam tadi.
Program yang diadakan di perkarangan rumah Saudara Mohd Fauzi Fadellah, Ketua 4B Bachang Darat ini melibatkan 7 persatuan belia iaitu GB4B Bachang Darat selaku tuan rumah, GB4B Pasir Putih, GB4B Sarang Helang, GB4B Seri Mangga, GB4B Tmn. Rumpun Bahagia, MAYC Kubu Harapan dan MAYC Warisan Kg. Lapan.
Program dimulakan dengan sesi kerohanian dengan majlis bacaan Yassin yang diketuai oleh Imam Surau Bachang Darat dan diteruskan dengan sesi santai dan percambahan minda bersama  rakan-rakan belia.
Majlis dihadiri oleh Sdr. Nasrul Ahmad, Exco Majlis Belia Malaysia; Sdr. Razak Abu Hassan,Pengerusi Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah;  Sdr. Linesh Khandhar, Exco MGBM dan Tn. Syed Zulhelmi Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah. Turut hadir pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli persatuan belia dari Dun Bachang.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli belia ialah berkenaan peruntukan kewangan kepada persatuan-persatuan belia. Saudara Nasrul Ahmad yang juga Exco MBM menerangkan bahawa peruntukan berkala kepada semua persatuan belia seperti tahun-tahun yang sudah telah dimansuhkan. Namun, beliau berjanji perkara itu akan dibangkitkan sebagai usul dalam Majlis Perundingan Belia Peringkat Negeri Melaka dan Kebangsaan oleh beliau.
Dalam masa sama, beliau juga menerangkan dan memberikan ulasan serta pandangan beliau terhadap isu-isu semasa dalam negara kini. Menurut beliau, isu pemansuhan PTPTN yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu adalah pandangan dari mereka yan berfikiran sempit dan mempunyai kepentingan sendiri.  Tambahnya lagi, pemansuhan PTPTN dan pemberian biasiswa percuma kepada semua mahasiswa adalah usul mengarut yang mampu menumbangkan ekonomi negara dalam masa yang singkat. Sewajarnya, permintaan yang lebih rasional iaitu pemansuhan kadar faedah pinjaman yang diutarakan berbanding pemansuhan terus PTPTN.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, Tn. Syed Zulhelmi Abdullah pula memaklumkan pihak Jabatan Belia Sukan sedang dalam proses untuk membina sebuah lagi Gelanggang Futsal di dalam daerah Melaka Tengah iaitu di perkarangan Dewan Tun Ali. Beliau juga melahirkan rasa berterima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah yang tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama yang baik dalam program-program anjuran Jabatan Belia dan Sukan.
Sebelum menutup majlis, Saudara Razak Abu Hassan, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah telah menyampaikan cenderahati bola futsal kepada persatuan-persatuan belia yang terlibat dengan program Sembang Belia Dun Bachang Siri 1 ini.
Read More...

Saturday, 7 April 2012

Sembang Mesra Belia Dun Serkam Melaka


Semangat dan sokongan generasi muda Melaka yang tidak berbelah bagi  terhadap aktiviti belia sekali lagi diterjemahkan pada Program Sembang Mesra Belia Dun Serkam yang diadakan baru-baru ini.
Program anjuran bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Melaka dan Majlis Gerakan Belia Daerah Jasin kali ini telah diadakan di Balairaya Kg. Serkam Darat, Melaka.
 Program sembang mesra belia ini telah dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.  Turut hadir Pegawai Belia dan Sukan Daerah Jasin, Pn. Liew Poh Fong; Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin, En. Nizam Omar; Penghulu Dun Serkam dan Pengerusi JKKK Kg. Serkam  Darat.
Pada majlis yang sama juga telah diadakan majlis perasmian  penubuhan  Gerakan Belia 4B Cawangan Serkam Darat dan Program Jalinan Mahabbah GB4B Malaysia Kawasan Jasin.  

Golongan anak muda sekitar Kg. Serkam Darat telah beramai-ramai turun untuk memeriahkan lagi majlis ini. Mereka pada dasarnya  amat berterima kasih atas penganjuran program ini kerana bagi mereka, inilah peluang terbaik mereka untuk beramah mesra dengan pemimpin setempat dan negeri. 

Dalam majlis sama juga, pelbagai permasalahan telah dapat diselesaikan dan yang paling menarik, YAB Ketua Menteri telah meluluskan peruntukan RM14K untuk surau Kg. Serkam Darat.
Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Jasin merangkap Pengarah Bahagian Sahabat Belia Jab. Ketua Menteri Melaka, En. Nizam Omar dalam ucapannya berjanji akan sama-sama turun padang bersama Jabatan Belia dan Sukan Melaka untuk memeriahkan lagi program-program belia di Melaka selaras dengan hasrat YAB Ketua Menteri untuk menjadikan Melaka sebagai Negeri Belia.

Read More...

Tuesday, 27 March 2012

Kerjasama Strategik Untuk Program Pemulihan Remaja



Nama Sekolah Henry Gurney Telok Mas bukanlah nama yang asing bagi rakyat Malaysia. Sekolah yang mula beroperasi pada tahun 1950 ini juga pernah menjadi lokasi penggambaran dalam filem Gila-Gila Remaja. Sekolah ini menempatkan pesalah juvana dan muda yang penulis yakin mereke juga berhak untuk mempunyai masa depan yang cerah dan merupakan aset penting untuk mencorakkan masa depan pembangunan dan kesejahteraan negara. 

Melalui Pelan Pemulihan Jabatan Penjara iaitu Pelan Pembangunan Insan, semua penghuni sekolah Henry Gurney akan terlibat dengan berbagai aktiviti berbentuk pembinaan displin, moral, kerohanian, kaunseling, latihan kemahiran vokasional secara bersijil, akademik dan lain-lain lagi.

‘ Jabatan Penjara amat menitikberatkan potensi pelajar di Institusi Penjara ini kerana golongan belia adalah pemangkin kepada pembangunan negara dan tingkahlaku serta corak pemikiran mereka hari ini akan menentukan hala tuju negara di masa hadapan. ’ ujar Datuk Haji  Hassan Sakimon, TKP Penjara Malaysia. Beliau berkata demikian ketika ucaptama merasmikan pelancaran program Remaja Perdana Rakan Muda, kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negara dan Jabatan Penjara Malaysia.

Jalinan kerjasama ini merupakan signifikan ekoran daripada perluasan skop Program Remaja Perdana Rakan Muda bagi mencapai kumpulan sasaran remaja di Institusi Penjara sebagai salah satu alternatif pemulihan. 

Program pemulihan remaja pertama kali diperkenalkan dalam Skim Anugerah ini pada tahun 1980 di United Kingdom. Kesan yang amat besar terhadap remaja ditahan di pusat pemulihan dengan menunjukkan pengurangan dari segi recidivism. Berlaku penurunan sebanyak 75% terhadap kecederungan untuk kembali melalukan kesalahan juvana di Scotland; di Kenya 0% daripada peserta Anugerah ditahan semula setelah dibebaskan dari pusat pemulihan remaja.

Bersesuaian dengan inisiatif pihak Kerajaan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara dalam konteks mengurangkan jenayah, golongan belia remaja dalam institusi ini tidak ketinggalan bahkan turut diberikan perhatian sewajarnya oleh pihak Kerajaan untuk didedahkan dengan peluang yang sama seperti remaja-remaja  yang lain.

Peluang ini disediakan sebagai landasan bagi menerapkan pembangunan diri yang positif seterusnya mempersediakan golongan ini untuk menyumbang khidmat bakti kepada bangsa dan negara setelah mereka kembali ke pangkuan masyarakat suatu hari nanti.


Seramai 35 orang peserta Projek Perintis Program Remaja Perdana Rakan Muda dari Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka akan mengikuti Program ini melalui jalinan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Belia dan Sukan Negara dan adalah diharapkan agar dapat memberi nilai tambah kepada remaja di Institusi Penjara terutama sekali dalam pembangunan diri dan meningkatkan jati diri mereka sebagai seorang individu dan ahli masyarakat.

Penulis memetik ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia dalam pembentangan Belanjawan 2012 `Apa yang diusahakan hari ini bukanlah untuk kita. Potensi golongan belia mestilah digembeleng dan dioptimumkan, idealisma mereka harus digilap, kreativiti mesti dipupuk dan bakat mereka harus terus dibajai’
Read More...

Monday, 26 March 2012

Ayuh Bangkit Orang Muda!!

“ Din, ko dah cantas lom pokok-pokok kat depan tu??? “
“Aku dah cantas dah Bijan, baru orang suka tengok “

Aktiviti mencantas pokok memerlukan penelitian dan kepakaran yang tersendiri. Tersalah cantas boleh menyebabkan mata yang memandang terasa jelik. Proses untuk mendapatkan kembali bentuk rimbun yang baru pasti mengambil masa.

Begitu juga dalam suasana politik semasa, aktiviti mencantas itu diertikan dengan istilah politik cantas.  Dalam erti kata lain ialah politik yang saling jatuh menjatuhkan antara satu sama lain dari kalangan anggota sepasukan atau seperjuangan.

Penulis lebih gemar mentafsirkan politik cantas itu sebagai proses untuk memilih pemimpin yang lebih berdedikasi dan komited kepada tanggungjawab.  Tidak salah untuk kita berbalah pendapat dalam menjalankan tanggungjawab tetapi janganlah sampai menggunakan pendekatan yang kurang bijak demi menjatuhkan rakan seperjuangan.

Dengan Pilihanraya Umum ke-13 yang dijangka semakin hampir, budaya politik cantas yang kurang sihat dikhuatiri mampu mendorong pengundi untuk beralih arah. Perbincangan dan muzakarah secara berhemah adalah kaedah yang lebih praktikal. Tidak kira samada pemimpin atau bakal pemimpin itu muda sekalipun, jika ia mampu menanggung beban dan menjalankan tanggugjawab dengan baik, mengapa tidak?

Tidak semestinya yang muda itu tidak mampu menggalas tanggungjawab sebagai wakil kepada rakyat. Mengambil YAB Dato Sri Najib Tun Razak sebagai contoh, beliau  mula menyandang kerusi Parlimen Pekan ketika berumur 23 tahun dan  menjadi Menteri  Besar Pahang  ketika berumur 29 tahun.

Calon-calon muda yang berwibawa harus diangkat untuk diketengahkan supaya pemimpin pelapis yang kuat dapat dibentuk.  Menjadi tugas  pemimpin semasa di peringkat pusat dan bahagian untuk membimbing dan menggalakkan golongan muda ini untuk terus menonjolkan diri dan bakat kepimpinan yang berkobar-kobar dalam diri.

Jika ini semua dapat dilaksanakan, penulis yakin slogan transformasi  itu pasti mencapai matlamat hingga ke peringkat akar umbi dan bukan hanya dilaungkan sebagai gimik pilihanraya sahaja.
Read More...