Pages

Wednesday 18 April 2012

Sembang Belia di Bachang Darat

Program Sembang Mesra Belia Daerah Melaka Tengah memulakan sesi penjelajahannya dengan siri pertama bermula di Dun Bachang pada malam tadi.
Program yang diadakan di perkarangan rumah Saudara Mohd Fauzi Fadellah, Ketua 4B Bachang Darat ini melibatkan 7 persatuan belia iaitu GB4B Bachang Darat selaku tuan rumah, GB4B Pasir Putih, GB4B Sarang Helang, GB4B Seri Mangga, GB4B Tmn. Rumpun Bahagia, MAYC Kubu Harapan dan MAYC Warisan Kg. Lapan.
Program dimulakan dengan sesi kerohanian dengan majlis bacaan Yassin yang diketuai oleh Imam Surau Bachang Darat dan diteruskan dengan sesi santai dan percambahan minda bersama  rakan-rakan belia.
Majlis dihadiri oleh Sdr. Nasrul Ahmad, Exco Majlis Belia Malaysia; Sdr. Razak Abu Hassan,Pengerusi Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah;  Sdr. Linesh Khandhar, Exco MGBM dan Tn. Syed Zulhelmi Abdullah, Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah. Turut hadir pengerusi-pengerusi dan ahli-ahli persatuan belia dari Dun Bachang.
Antara isu yang dibangkitkan oleh ahli belia ialah berkenaan peruntukan kewangan kepada persatuan-persatuan belia. Saudara Nasrul Ahmad yang juga Exco MBM menerangkan bahawa peruntukan berkala kepada semua persatuan belia seperti tahun-tahun yang sudah telah dimansuhkan. Namun, beliau berjanji perkara itu akan dibangkitkan sebagai usul dalam Majlis Perundingan Belia Peringkat Negeri Melaka dan Kebangsaan oleh beliau.
Dalam masa sama, beliau juga menerangkan dan memberikan ulasan serta pandangan beliau terhadap isu-isu semasa dalam negara kini. Menurut beliau, isu pemansuhan PTPTN yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu adalah pandangan dari mereka yan berfikiran sempit dan mempunyai kepentingan sendiri.  Tambahnya lagi, pemansuhan PTPTN dan pemberian biasiswa percuma kepada semua mahasiswa adalah usul mengarut yang mampu menumbangkan ekonomi negara dalam masa yang singkat. Sewajarnya, permintaan yang lebih rasional iaitu pemansuhan kadar faedah pinjaman yang diutarakan berbanding pemansuhan terus PTPTN.
Pegawai Belia dan Sukan Daerah Melaka Tengah, Tn. Syed Zulhelmi Abdullah pula memaklumkan pihak Jabatan Belia Sukan sedang dalam proses untuk membina sebuah lagi Gelanggang Futsal di dalam daerah Melaka Tengah iaitu di perkarangan Dewan Tun Ali. Beliau juga melahirkan rasa berterima kasih kepada Jawatankuasa Majlis Gabungan Belia Melaka Tengah yang tidak pernah gagal dalam memberikan kerjasama yang baik dalam program-program anjuran Jabatan Belia dan Sukan.
Sebelum menutup majlis, Saudara Razak Abu Hassan, Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah telah menyampaikan cenderahati bola futsal kepada persatuan-persatuan belia yang terlibat dengan program Sembang Belia Dun Bachang Siri 1 ini.

No comments:

Post a Comment