Pages

Friday 20 April 2012

Sembang Mesra Belia di Kg. Bukit Pulau



Sembang Mesra Belia sekali lagi berjaya berjalan dengan lancar di Kg. Bukit Pulau, Melaka. Majlis santai yang dihadiri lebih 130 orang anak belia ini telah diadakan di perkarangan rumah Sdr. Razak Abu Hasan. Majlis pada malam itu telah dihadiri golongan belia dari Gerakan Belia 4B Caw. Paya Ikan, GB4B Bukit Baru Dalam, GB4B Bukit Baru Kg.ku Sayang, GB4B Taman Desa Baru dan GB4B Bukit Pulau sebagai tuan rumah.
Majlis telah dirasmikan oleh Tuan Abd Latiff Mohammad, penggiat belia dan NGO yang aktif di Melaka yang juga mantan Setiausaha Agong Majlis Belia Melaka. Turut hadir Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin; Pengerusi Majlis Gabungan Belia Daerah Melaka Tengah, Sdr. Razak Abu Hassan dan Pegawai Belia dan Sukan Negeri Melaka,En. Nik Mohd Azuan Ahmad Rostam.


Majlis atas nama Program Kerohanian dan Sembang-sembang Belia(Santai) ini dimulakan dengan solat Isya’ berjemaah dan bacaan Yassin dan tahlil yang diadakan di rumah Saudara Razak.
Tuan Abd Latiff dalam ucapannya mengajak anak belia untuk mengenang jasa-jasa pemimpin masyarakat dan belia yang telah banyak menyumbang idea dan tenaga dalam melahirkan satu komuniti masyarakat yang cemerlang akal dan fikiran. Beliau juga menyeru pemimpin persatuan belia masakini agar bertindak bijak dalam mendekati golongan anak muda.
Menurut beliau, penglibatan anak belia secara proaktif dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan secara tidak langsung mampu menghindarkan mereka dari terlibat dengan gejala sosial dan dakyah anasir-anasir yang cuba merosakkan minda anak-anak muda ini.

Presiden Majlis Gabungan Belia Melaka,Cikgu Zali Md Yasin pula melahirkan kesyukuran atas keprihatinan pihak Kerajaan negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Melaka yang sentiasa menyokong pembangunan dan halatuju belia di Melaka. Ini amat bertepatan dengan usaha untuk mengangkat Melaka dengan slogan Melaka Negeri Belia.
Beliau juga turut berkongsi kisah duka rakan-rakan belia dari Selangor yang terpaksa membayar harga yang amat mahal untuk menyewa pejabat operasi untuk Majlis Belia Selangor. Tambahnya lagi, baru-baru ini Kerajaan Negeri Selangor telah menaikkan lagi sewa premis hampir 300% dari harga sewa sebelumnya.  Beliau menerangkan akan peri pentingnya belia untuk  mempunyai pejabat sendiri supaya segala program belia dapat diatur dengan lebih tersusun.
Dalam majlis yang sama juga, pihak SPR telah menyediakan perkhidmatan semakan daftar pemilih manakala Jabatan Tenaga Kerja Melaka telah membuat hebahan berkenaan program Temuduga Terbuka sempena Program Employability dan Azam Kerja 1Malaysia yang bakal berlangsung pada hujung minggu ini.
Majlis santai ini ditutup pada pukul 12.00 malam dengan penyampaian sumbangan bola futsal kepada persatuan-persatuan belia  menjadi agenda terakhir.

No comments:

Post a Comment